Tenggelam, timbul, tenggelam timbul. Kadang-kadang sehari tu boleh masukkan dua tiga resepi tetapi kekadang waktu dah sampai dua tiga minggu, satu resepi pun tak dapat nak dimasukkan. Semuanya disebabkan komitmen yang lain. Kalau dah mengadap komputer mahu dua hingga jam baru siap sesuatu N3 tu. Kadang-kadang sampai 4 jam bila dah teruja tengok masakan di blog kekawan yang lain. Kalau dah `tekun' di hadapan komputer, alamatnya kerja-kerja rumah yang lain terbengkalailah seketika. Tak pelah... malam nanti kita bereskan.
Ok, hari ini Kak Noor nak syer resepi olahan Kak Noor sendiri. Kebiasaannya resepi olahan ini adalah dari kreativiti kita sendiri setelah melihat resepi-resepi yang sedia ada di blog kekawan, majalah dan buku resepi. Dari resepi yang sedia ada, kita jadikan panduan untuk menghasilkan satu resepi baharu dan enak dimakan dengan menggabungkan bahan-bahan yang bersesuaian.
Pernah masak kari udang? Tentu semua pernahkan! Kebiasaannya kalau kita masak kari udang, bahan rempah utama yang digunakan tentulah rempah kari udang/daging. Tetapi hari ini Kak Noor cuba campurkan rempah beriani di samping rempah-rempah lain untuk menerbitkan rasa kelainan pada resepi kari udang ini. Untuk rempah kari dan rempah beriani, Kak Noor gunakan jenama favourite iaitu BABAS. Semasa memasak tadi, ligat juga kepala otak ini berfikir apakah nama yang sesuai yang patut diberi kepada resepi ini. Memandangkan ada campuran rempah beriani, Kak Noor ambil jalan mudah dengan menamakan nya Kari Beriani Udang. Oklah tu kan! Penat dah berfikir tadi.
Ternyata cubaan resepi ini berbaloi. Husband dah makan tadi, dan katanya sedap. Resepi ini Kak Noor buat berkuah, sebab anak-anak Kak Noor suka lauk yang berkuah. Tapi kalau nak kuah lebih pekat, biarkan kuah mendidih di atas dapur sehingga pekat sedikit, baru dimasukkan udang.
Jom kita tengok resepinya.
Apa kata kalau kita hidangkan kari beriani udang ini bersama nasi panas, ikan goreng, sambal belacan dan ulam-ulaman. Menu yang ringkas tetapi membuka selera...... |
Bahan-bahannya:
300 gram udang saiz XL - dibuang kepala dan ekor sahaja
1 biji tomato - dipotong kiub
2 biji cili hijau
1/2 santan kelapa sawit - dicampur dengan 2 cawan air
Gula dan garam.
Minyak secukupnya untuk menumis
Bahan-bahan A: Dikisar (diblend)
2 ulas bawang putih
2 biji bawang besar saiz sederhana (jika saiz besar, gula 1 biji sahaja)
4 sudu besar rempah kari daging BABAS
1 sudu besar rempah beriani BABAS
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk jintan putih
1 sudu kecil serbuk cili
1 inci halia
Air secukupnya untuk mengisar
Bahan-bahan B: Ditumis:
1 batang serai dititik
2 tangkai daun kari
3 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris memanjang
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Cara-cara memasaknya:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan serai dahulu, kemudian bahan-bahan B yang lain. Tumis sehingga naik bau dan bawang bertukar kekuningan. Kemudian masukkan bahan-bahan A. Tutup periuk dan masak sehingga terbit minyak/rempah garing.
2. Selepas rempah garing, bolehlah dituangkan sedikit air lebih kurang 1/2 cawan dan kacau rata. Masukkan tomato yang telah dipotong kiub, kacau dan biarkan masak lebih kurang 2 minit.
3. Kemudian masukkan santan, sedikit gula dan garam. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.
4. Selepas itu masukkan udang dan masak sehingga kulit udang bertukar kekuningan. Tutup api dan masukkan cili hijau.
5. Sedia dihidangkan.
Cubalah, nanti bagi komen ye! Terima kasih.
No comments:
Post a Comment