Sunday, April 14, 2013

Daging Goreng Kunyit





Semalam sepulang dari kerja, sempat singgah di pasar malam berdekatan stesen LRT Jelatek.  Tengok udang, sotong,  dan ketam, alahai semuanya mahal-mahal belako.  Yang paling murah ikan, tu pun harga yang paling murah RM10.00 sekilo iaitu ikan kembong kecil.  Tapi Kak Noor beli ikan mata besar sahaja.  Ikan ni sedap digoreng dan dimakan panas-panas sahaja.  Kalau masak lain mesti x jalan melainkan kalau masak sambal ikan. 

Teringin pula nak beli daging sebab dah lama x masak daging.  Beli sikit sudahlah, dapat sekali makan.  Lagipun dua orang anak bujang Kak Noor balik hujung minggu ini.  Bolehlah masak best sikit. Kalau hari-hari biasa tiada orang nak makan.  Dari segi beli daging ni Kak Noor memang agak cerewet orangnnya.  Kak Noor lebih suka beli daging tempatan daripada daging kotak (daging import).  Bukanlah Kak Noor nak memperkecil-kecilkan daging import, tetapi tekak ni x boleh nak terima  Ada `rasa'nya yang tidak diperkenankan oleh tekak ni.  Walaupun mahal daripada daging kotak, tetapi Kak Noor lebih rela mengeluarkan lebih sedikit belanja untuk membeli daging tempatan.  Tak dapat dinafikan di restoran ke... di warung makan ke.... kenduri kahwin ke.... rata-rata mereka menggunakan daging kotak.



Ok tak payahlah Kak Noor ceghita lebih-lebih sangat pasal daging kotak ni.  Terpulanglah kepada citarasa masing-masing sama ada nak beli daging kotak atau daging tempatan. Jom kita tengok resepi untuk daging goreng kunyit ini, ikut cara Kak Noor.



Bahan-bahannya:
500 gm daging batang pinang - dihiris ikut suka
1 batang saderi - dihiris
2 labu bawang besar - dimayang bulat
2 tangkai daun kari
4 - 5 biji cili padi warna merah - dipatah-patahkan
1/2 biji tomato - dipotong wedges
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Sedikit minyak

Bahan-bahan B (untuk perapan daging):
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
20 gm kunyit hidup
20 gm halia
1 sudu besar kunyit serbuk
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh gula
Air secukupnya

Penyediaannya:
1.  Bahan-bahan B disatukan di dalam blender kemudian dikisar hancur.
2.  Perapkan daging bersama bahan B selama kira-kira 1 jam (lebih lama lebih baik). 
3.  Panaskan minyak dalam kuali.  Tumiskan daun kari sehingga naik bau, kemudian masukkan daging yang telah diperap tadi.  Kacau sebati dan masukkan air secukupnya dan masak sehingga daging empuk.  Sekiranya air kering dan daging masih tidak empuk, boleh ditambah air.
4.  Setelah daging empuk, perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa (jika suka). 
5.  Setelah rasa telah sebati dengan daging, masukkan bawang besar, batang saderi, tomato, dan cili padi.
6.  Kacau rata dan padamkan api. 

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment