Friday, April 26, 2013

BIHUN GORENG KAROT

Bihun lagi.... tak jemu-jemu makan bihun ye!.  Memang tak pernah jemu pun.... tapi mestilah ada idea dan cara untuk mempelbagaikan rasanya supaya tidak mempunyai rasa yang sama setiap kali. Semalam sebelum tidur, sempat berpesan kepada anak bujang supaya rendam bihun sebungkus, sebab esok ibu nak goreng bihun untuk sarapan.

Nampak simple, tetapi ternyata sedap.  First time bikin....

So...seperti yang telah dirancangkan, pagi tadi sempatlah Kak Noor goreng bihun untuk sarapan anak-anak di rumah, dan untuk bekalan anak ke sekolah serta untuk bekalan ibunya sekali ke pejabat. Jimatlah sikit belanja hari ini untuk sarapan pagi  kat pejabat.  Biasalah kat KL Sentral tu...paling minimum minum pagi pun mesti lebih daripada RM5.00. Bihun goreng dengan telur mata kerbau pun harganya RM4.00.  Itu tak termasuk minuman lagi...  Itu bihun goreng..,  harga sebungkus nasi lemak biasa pula mencecah RM2.00 sebungkus.  Tapi yang hairannya tak pernah tak habis nasi lemak tu...  Walaupun mahal orang-orang kat KL Sentral ini sanggup membelinya.  Kalau kita tidak beli, orang lain beli.  So... tak rugilah pengusaha-pengusaha makanan membuka kedai menjual makanan di KL Sentral ini.  Tempat tumpuanlah kata kan....  Tapi bagi Kak Noor dan orang-orang yang telah lama bekerja di KL Sentral ini, harga yang mahal tu tidak mendatangkan kejutan lagi...   

Seri karot ........

Kali ini masakan bihun goreng yang hendak Kak Noor ketengahkan  ada kelainan sedikit.  Namanya pun Bihun Goreng Karot.  Mesti ada yang tertanya-tanya kenapa  karot pula! Macam mana rupa, rasa, dan cara untuk memasaknya?

Sebenarnya untuk bihun goreng ini Kak Noor menggunakan karot dalam dua cara.  Pertama karot dikisar bersekali dengan cili kering dan juga bawang besar untuk dijadikan sebagai pes. Kedua dijadikan sebagai sayuran menggantikan taugeh ataupun sawi.

Ternyata apabila telah masak, rasanya memang sedap; terasa manis karot di dalam bihun.  Apa lagi... jom cuba resepi ini....

jemput.jemput.....semua menikmati hidangan ini...

Bahan-bahannya:
1 bungkus bihun – direndam semalaman
Beberapa ekor udang saiz sederhana – (dibuang kepala dan ekor sahaja), nak letak sotong pun boleh.
1 labu bawang besar saiz kecil - dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 biji karot – dikupas kulit dan dipotong memanjang
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili thai manis
2 sudu besar kicap manis
Beberapa helai daun bawang – dipotong anggaran 1 inci
1 biji cili hijau – dihiris serong
Gula/garam/serbuk perasa (jika suka)
Minyak secukupnya untuk menumis
Bawang goreng dan cili hijau jeruk - untuk hiasan (tak letak cili jeruk sebab tiada stok)

Bahan-bahan dikisar:
1 senduk nasi cili kering kisar – nak pedas boleh tambah lagi
½ biji karot – dipotong kasar
1 labu bawang besar saiz kecil
Air secukupnya untuk mengisar

Cara-caranya:
 1.  Toskan bihun dan ketepikan.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau dan sedikit kekuningan.
3.  Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan masak sehingga cili garing dan pecah minyak.
4.  Masukkan 1 cawan air dan kacau rata.  Masukkan sos tomato, sos tiram, sos cili thai, dan kicap manis, garam, gula, dan serbuk perasa. Kacau dan biarkan kuah mendidih.
5.  Bila kuah telah mendidih, masukkan udang dan biarkan di atas dapur sehingga udang masak.  Selepas itu, masukkan potongan karot dan masak sehingga karot lembut. (Sekiranya air kering, tambahkan air lagi.  Jangan masukkan air setelah kita masukkan bihun).
6.  Selepas itu bolehlah dimasukkan bihun dan kaup balikkan sehingga sebati.  Bila bihun telah masak, masukkan cili hijau dan daun bawang.  Kacau rata dan 3 minit kemudian kemudian bolehlah ditutup api.
7.  Sedia  dihidangkan dengan bawang goreng dan cili hijau jeruk.   

No comments:

Post a Comment