- Siakap Goreng Tiga Rasa
- Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku
- Sambal Belacan dan Ulam-ulaman
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Ketiga-tiga menu di atas adalah hidangan tengah hari tadi. Sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti yang agak panjang, anak-anak Kak Noor semua ada di rumah kerana bercuti. Lagipun sejak penghujung bulan Januari yang lalu terdapat pertambahan ahli keluarga dalam rumah iaitu mak mertua dan adik ipar. Masa inilah semua dapat makan bersama.
Nasi yang dulunya masak tiga pot beras pun tidak dapat dihabiskan, tetapi sepanjang tempoh percutian ini enam pot beras `selesai'. Itu waktu siang, waktu malam cerita lain pula. Chef pun dah tak larat ke dapur nak sediakan makan padi, makan petang, dan makan malam. Kadang-kadang bila orang dah ramai ni, lauk yang kita bajet boleh tahan sehingga ke malam, kadang-kadang tak cukup dan hanya dapat bertahan pada waktu siang sahaja. Terpaksalah chef masuk ke dapur menyediakan menu `bidan terjun' pula.
Ikan Goreng Siakap Tiga Rasa, always faveret famili |
Antara bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan masakan ikan goreng siakap tiga rasa |
Untuk menu tengah hari ini, Kak Noor masak ikan siakap goreng tiga rasa, masak lemak cili padi pucuk paku, dan sambal belacan serta ulam-ulaman. Menu ikan siakap goreng tiga rasa telah banyak kali Kak Noor masak dan resepi ini memang menjadi faveret famili Resepinya telah masukkan dalam blog SDB dan boleh diakses di sini. Walaupun hidangannya agak ringkas, tetapi semuanya `beres', tak sempat bertahan sehingga ke malam. Bagi masak lemak cili padi pucuk paku pula, Kak Noor gunakan santan kelapa sawit KHALIS. Memang sedap dan lemak berkrim.
Inilah produk santan sawit Khalis |
Santan kelapa sawit? Mungkin tak ramai orang yang tahu tentang kewujudan santan kelapa sawit ini di pasaran dan mungkin juga ramai yang tidak berapa arif lagi tentang penggunaan santan kelapa sawit ini di dalam masakan harian. Semua orang akan tertanya-tanya kelapa sawit ini ada santan ke? Daripada datangnya santan itu? Sebenarnya santan sawit ini memang baik untuk kesihatan, lebih-lebih lagi bagi penggemar masakan bersantan. Kalau inginkan penerangan lanjut mengenai santan kelapa sawit ini bolehlah lawati laman web rasminya iaitu di Santan Khalis Sawit (Bukan nak promote ye, cuma nak berkongsi sesuatu yang berbaloi dan baik untuk kesihatan).
Bagi menambahkan selera, Kak Noor sediakan sambal belacan dengan ulam-ulaman seperti ulam raja, daun selum, dan kacang botol. Sesekali mengadap hidangan seperti ini, ia memang menyelerakan. Lebih-lebih lagi kalau ahli keluarga berkumpul. Selerapun bertambah-tambah....
Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku (Santan Sawit)
Bahan-bahannya:
2 ikat sayur pucuk paku
1 sudu besar udang kering - dibersihkan, direndam, dan ditoskan.
2 batang serai, diitik
2 cawan santan kelapa sawit, dicampur dengan 1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan dikisar:
2 labu bawang besar, saiz sederhana
1 inci kunyit hidup
5 biji cili padi @ ikut kepedasan
1 biji cili merah
1 1/2 cawan air
Cara-caranya:
1. Masukkan semua bahan kisar, serai dan udang kering di dalam periuk dan masak sehingga mendidih.
2. Selepas mendidih, masukkan santan sawit. diikuti dengan pucuk paku. Kacau rata dan masak sehingga pucuk paku lembut dan kuah mendidih. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
3. Akhir sekali bolehlah ditutup api dan dihidangkan.
No comments:
Post a Comment