Friday, February 22, 2013

Cucur Ikan Bertaugeh

Bila masak cucur ikan ini, teringat Kak Noor semasa zaman kanak-kanak dulu.  Cucur inilah yang selalu dimasak oleh nenda Kak Noor untuk minum petang.  Kak Noor dibesarkan dalam suasana kampung oleh nenda sejak dilahirkan lagi sehinggalah Kak Noor berusia 12 tahun.  Kebiasaannya selepas penat bermain, perut akan terasa lapar, lalu dihidangkan dengan cucur ikan dan teh o. Bahan pencicahnya pula bukanlah sos cili tetapi kari ikan ataupun sambal tumis. Boleh juga dicicah dengan teh.o. Dalam suasana kampung yang indah dan tenang dikelilingi oleh pokok nyiur yang melambai-lambai dan udara petang yang nyaman, satu persatu cucur dicicah dan disuapkan  ke dalam mulut sehingga tidak sedar akhirnya semuanya selesai.... Memang sedaapp.... bila nenda Kak Noor masak. Tetapi sekarang kena masak sendiri le..... kalau nak makan.


Kebiasaannya cucur ikan ini dibuat apabila ada ikan goreng yang tidak habis.  Orang tua dulu-dulu amat sayang nak buang makanan yang tidak habis.  Selagi boleh makan, dia orang akan makan.  Dia orang tidak suka membazir.  Rezeki datang daripada Allah.  Sekiranya kita membuang rezeki itu, ertinya kita membuang rezeki yang diberi oleh Allah.  Berdosa....  So salah satu caranya supaya tidak berlaku pembaziran,  ikan yang tak habis itu digunakan sebagai bahan campuran untuk membuat cucur.  Inilah resepi cucur original.

Tetapi bagi resepi cucur  ini, Kak Noor campurkan sedikit taugeh untuk melengkapkan piramid pemakanan kita; sayur dan ikan.  So... sekali gus timbul idea  untuk menamakan resepi ini sebagai Cucur Ikan Bertaugeh.


Bahan-bahannya:
*1/2 kilo tepung gandum
*1 sudu soda bikarbonat
1 ekor ikan goreng diambil isinya dan ditumbuk kasar - Kak Noor guna ikan kembung goreng sebab banyak isinya.
Anggaran 50 gram ikan bilis kopek direndam dengan air panas sehingga kembang, kemudian dibersihkan.
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 keping keju - dipotong kecil
1 biji bawang besar - dipotong dadu
1 biji cili merah - dihiris
1 biji cili hijau - dihiris
1 biji telur
Daun sup/daun bawang - dihiris
1 paket perencah nasi ikan bilis Seri Aji
Gula dan garam secukup rasa
Air suam secukupnya untuk membancuh tepung

Cara-cara membuatnya:
  • *Tepung gandum dan soda bikarbonat diayak bersama.
  • Di dalam bekas satukan semua bahan.  Gunakan air suam untuk membancuh adunan ini.
  • Gaul adunan sehingga sebati dan ketepikan 30 minit supaya adunan sedikit kembang.
  • Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali.  Jemput adunan dan goreng sehingga kekuningan.  Boleh juga menggunakan sudu besar untuk membentuk adunan.
  • Hidangkan dengan sos cili atau mayonis.

No comments:

Post a Comment