Saturday, February 16, 2013

Kari Ayam Kashmir



Assalamualaikum dan Selamat Tengah Hari. 

Untuk juadah tengah hari ini, Kak Noor masak Kari Ayam Kashmir, stail India di mana tidak menggunakan santan.   Resepi ini Kak Noor temui di Blog Hairul yang merupakan kiriman Puan My1981 dalam program kongsi resepi dapat duit tajaan blog Hairul.com





Kebiasaannya kari ayam yang Kak Noor masak menggunakan santan, tetapi resepi ini tidak menggunakan santan sama sekali; betul-betul ikut stail mamak.  Kuahnya pula Kak Noor lebihkan air kerana hasben tidak berapa gemar kuah kari yang pekat.




Ternyata selepas dimasak, memang sedap dan tidak jemu kita memakannya.  Menu tambahannya pula ialah sambal belacan dengan ulam-ulaman dan papadom.



Walaupun ringkas, tetapi syukur Alhamdulillah berselera makan seisi keluarga.



Resepi Asal: Kiriman Puan My1981
 (Program Kongsi Resepi Dapat Duit Tajaan Blog Hairul.com)

Bahan-bahan A (Untuk ditumis):
4 ulas bawang merah - dihiris
1 labu bawang besar saiz sederhana – dihiris dan ditumbuk
3 ulas bawang putih – ditumbuk
1 ½ inci halia – ditumbuk
1 batang serai – dititik
1½ inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
2 tangkai daun kari
Minyak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan B (Untuk pes): 
3 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar rempah briyani
1 sudu besar serbuk cili
(Satukan semua bahan di atas dan digaul dengan air untuk dijadikan pes)

Bahan-bahan C: 
1 biji buah tomato saiz besar yang ranum – dipotong dadu kecil
3 – 4 biji kentang – dipotong dadu besar
2 biji cili hijau
10 – 12 ketul daging ayam (saiz potong 16)
Minyak untuk menggoreng ayam
Garam, gula, dan serbuk perasa sekiranya suka
Air secukupnya untuk kuah mengikut kuantiti ayam.

Cara-cara Memasaknya: 
1. Ayam yang telah dibersihkan digaramkunyitkan dan digoreng separuh masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan A sehingga naik bau. Masukkan pes dan kacau sebati. Tudung periuk dan masak sehingga rempah garing.
3. Selepas itu masukkan ubi kentang dan buah tomato yang dipotong dadu dan kacau seketika.
4. Masukkan ayam dan tambahkan air secukupnya untuk kuah dan kacau rata. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa.
5. Masak sehingga kuah mendidih dan ubi kentang empuk.
6. Setelah kuah agak pekat, bolehlah ditutup api. Masukkan cili hijau dan tudung periuk.



No comments:

Post a Comment