Sunday, July 21, 2013

IKAN KEMBUNG BAKAR (PERENCAH IKAN BAKAR ADABI) & AIR ASAM BONDA

Di bulan Ramadhan ini ramai orang yang suka berbuka puasa dengan ikan bakar kan! Walaupun harga ikan bakar yang dijual di bazar Ramadhan mahal harganya, namun orang ramai sanggup beratur panjang untuk membelinya.  Apa lagi kalau gerai yang menjual ikan bakar tu menyediakan air asam yang cukup power.  Sudah tentu gerai berkenaan akan menjadi tumpuan setiap hari.

Bercakap pasal ikan bakar ini, ada sebuah kedai ikan bakar yang terletak di pasar Datuk Keramat. Memang menjadi tumpuan orang ramai dan famous di kalangan penduduk yang tinggal di sekitar Keramat.  Ikan-ikannya memang segar belaka.  Ada ikan kembung besar, ikan pari, ikan terubuk dan ikan cencaru.  Walaupun harganya agak mahal (contohnya ikan pari harganya RM18.00) tetapi pelanggan tak kisah dan gerai tersebut senantiasa menjadi tumpuan. Cara ikan dibakar iaitu dibalut terlebih dahulu dengan daun pisang dan kemudian dibakar di atas kuali leper dengan menggunakan marjerin sudah cukup menaikkan selera.  Ketika dibakar aromanya..... hai tak payah cakap le....Tekstur ikannya yang manis dan air asamnya yang memang power dan sedap sehingga menjilat jari  adalah salah satu tarikannya yang tersendiri. Kerap kali pelanggan terpaksa menunggu giliran untuk makan di situ kerana tempat duduk senantiasa penuh.  Kak Noor yang sejak dulu memang tak berapa suka makan ikan bakar ini pun akhirnya `tersujud' di kedai tersebut.  Kalau setiap kali teringin nak makan ikan bakar, mesti ajak hubby ke sana.


Hari ini Kak Noor nak cuba sedia ikan bakar.  Kak Noor guna ikan kembung besar yang diberi di pasar raya Jaya Jusco.  Segar ikannya.  Bagi memudahkan penyediaannya, Kak Noor beli perencah ikan bakar  ADABI.  Pencicahnya pula ialah air asam.  Air asam ini memang special sangat.  Rasanya lebih kurang sama dengan air asam yang disediakan di gerai ikan bakar pasar Datuk Keramat (Anak-anak Kak Noor lah yang komen; sehingga dihirup air asam tu!).  Memandangkan air asam ini adalah olahan Kak Noor sendiri maka Kak Noor namakannya Air Asam Bonda.

IKAN BAKAR - (Hidangan untuk 6 orang)

Bahan-bahannya:
6 ekor ikan kembung saiz besar
2 paket perencah ikan bakar ADABI (satu paket 70g)
Beberapa helai daun pisang yang telah dibersihkan


Penyediaannya:
1.  Cuci ikan sebersihnya, kemudian perap selama lebih kurang 30 minit dengan perencah ikan bakar ADABI.  Kalau perap lebih lama, lagi baik.
2.  Balut setiap ikan dengan daun pisang.
3.  Panaskan kuali pemanggang dengan sedikit margerin dan panggang ikan pada kedua-dua bahagian.
4.  Apabila ikan masak, hidangkan bersama air asam.





AIR ASAM BONDA

Bahan-bahan A:
2 biji bawang besar - dihiris nipis
2 biji tomato saiz sederhana - dipotong kiub
1 biji cili merah - dihiris
5 - 6 biji cili padi - dihiris (kalau nak pedas, lebihkan; dan kalau tak nak pedas, kurangkan)
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
Garam secukup rasa
1 sudu kecil serbuk pasti SEDAP Knorr - boleh didapati di pasar raya
1 sudu besar sos ikan
2 - 3 biji limau kasturi - dihiris nipis atau diambil jusnya sahaja.
Garam secukup rasa

Bahan-bahan B (disatukan dan dikisar):
3 sudu besar pati asam jawa ADABI
Belacan secukupnya
1 cawan air suam

Penyediaannya:
1.  Sediakan bekas.  Masukkan kesemua bahan A.
2.  Bahan-bahan B disatukan dan dikisar lumat.  Sekiranya pekat, tambahkan air suam secukupnya.
3.  Kemudian masukkan bahan B yang telah dikisar tadi di dalam bekas yang sama.  Ramas kesemua bahan sehingga sebati. Kuah pencicah hendaklah sederhana pekat, dan jangan cair. Kalau pekat sangat, boleh tambahkan air suam.
4.  Boleh disimpan di dalam bekas plastik (tupperware)  dan dimasukkan di dalam peti ais.  Bila hendak makan, baru dikeluarkan.

PUCUK MANIS MASAK LEMAK PUTIH



Bahan-bahannya:
2 ikat pucuk manis (diambil daunnya)
Segenggam udang kering
2 cawan santan sawit KHALIS – dicampur dengan 4 cawan air
1 biji bawang besar – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
¼ biji cili benggala kuning – dihiris memanjang
3 - 4 cili padi merah
Gula, garam dan serbuk perasa secukupnya

Cara memasaknya:

Satukan semua bahan di atas  di dalam periuk.  Masak sehingga mendidih.  Selalu dikacau supaya santan tidak pecah.   Bila cukup masak, barulah diangkat untuk dihidangkan.

Kailan Goreng Ikan Masin dan Cendawan



(Hidangan untuk 4 –  6 orang)
Bahan-bahannya:
2 ikat sayur kalian – potong dan asingkan batang dan daun
1 ketul ikan tenggiri jeruk
1 biji bawang besar – dihiris
4 ulas bawang putih – diketuk
1 biji cili merah – dihiris serong
*4 biji cendawan segar `Shitake' – dipotong kecil (Kak Noor beli di pasar raya Jaya Jusco - sila lihat gambar)
2 sudu makan sos ikan
2 sudu makan sos tiram
1 sudu kecil gula
2 sudu besar minyak kelapa
(*direndam di dalam air yang dicampur dengan sedikit garam selama 15 minit. Kemudian dibilas bersih)

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Goreng ikan tenggiri jeruk sehingga agak garing.
2.  Masukkan bawang besar, bawang putih, dan cili merah di dalam kuali dan kacau sehingga layu.
3.  Kemudian masukkan cendawan, sos ikan dan sos tiram.  Gaul seketika.
4.  Masukkan sedikit air untuk kuahnya, kemudian diikuti dengan batang kailan dan sayur.
5.  Kacau sekejap, dan bolehlah dihidangkan.

Inilah cendawan segar Shitake (Fresh Shitake Mushroom) 

Marhaban Ya Ramadhan 2013

"Marhaban Ya Ramadhan"
Selamat Menunaikan Ibadah Puasa
Semoga hidup kita selalu diberkati 
di bulan yang penuh mahrifa

Selamat Berpuasa Kak Noor ucapkan kepada semua pengunjung blog Sajian Dapur Bonda. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur untuk menikmati Ramadhan tahun ini.  Semoga segala amalan ibadat kita di bulan yang mulia ini dan bulan-bulan yang seterusnya diterima oleh Allah S.W.T. dan dosa-dosa diampunkan.  Semoga kita senantiasa dirahmati dan  diberi hidayah olehNYA.   Insya Allah.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini Kak Noor ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingkatkan kepada rakan-rakan semua dan diri Kak Noor sendiri supaya tidak membazir bila tiba waktu berbuka.Sepatutnya pada bulan Ramadhan inilah kita boleh berjimat cermat kerana kita perlu mengeluarkan belanja untuk makan pagi, makan tengah hari, dan makan petang.  Kita  cuma perlu berbelanja untuk makan malam sahaja; dalam erti kata yang lain untuk berbuka puasa sahaja.  Tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya di mana kita berbelanja lebih daripada hari-hari biasa.  Cuba lihat di sekeliling kita, terutamanya di bazar Ramadhan pada waktu petang, semasa orang pulang bekerja.  Setiap orang akan singgah di bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa seperti lauk pauk dan kuih muih.  Tak kira le... kalau lauk dan kuih tu mahal sekalipun,  tetap dibeli juga.  Bagi para peniaga pula, bulan Ramadhan adalah bulan rezeki bagi mereka. Di bulan inilah  mereka dapat mencari duit lebih.  Mereka tak  perlu risau, jualan garenti habis. Ini kerana ramai orang yang sekarang yang mengejar masa terutamanya bagi mereka yang berkerja, dan mereka ini lebih cenderung untuk membeli makanan di bazar Ramadhan untuk berbuka.

Insya Allah untuk tahun ini Kak Noor akan cuba sedaya upaya untuk tidak membeli terlampau banyak makanan di bazar Ramadhan.  Kalau dulu penuh tangan ini menjinjing beg plastik, tetapi tahun ini Kak Noor  bertekad untuk memasak lauk pauk sendiri.   Lagipun tahun ini pihak pengurusan jabatan Kak Noor bekerja telah memutuskan waktu pulang di bulan Ramadhan ialah jam 4.30 petang dibandingkan tahun lalu 5.00 petang. Alhamdulillah... dapatlah Kak Noor pulang awal ke rumah untuk menyediakan juadah berbuka puasa buat suami dan anak-anak.  Tapi untuk juadah kuih muih tu..... Kak Noor masih membeli di bazar Ramadhan.  Kalau buat sendiri, boleh makan satu jenis sahaja.  Tetapi kalau beli, boleh pilih dua tiga jenis.

Dan di bulan Ramadhan yang mulia ini juga Kak Noor akan cuba berusaha untuk memuatkan sebanyak resepi yang boleh, terutamanya dari segi masakan lauk-pauk yang Kak Noor sediakan pada setiap hari  di sepanjang bulan Ramadhan ini.

Wassalam.

KACANG BUNCIS GORENG TAUHU




Bahan-bahannya:
15 batang kacang buncis - dipotong serong
1/4 biji cili benggala hijau - dipotong memanjang
2 biji tauhu - digoreng dahulu, dipotong kecil
2 biji bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 sudu besar sos tiram + 1 sudu besar air
1 genggam udang kering - direndam, dibasuh dan ditoskan
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara-cara memasaknya:
1.  Panaskan minyak di dalam kuali.  Tumis bawang merah, bawang putih dan udang kering sehingga naik bau.  Masukkan sos tiram, garam, dan gula, kacau rata. Selepas itu bolehlah dimasukkan kacang buncis, tauhu goreng dan cili benggala.  Kaupbalikkan dan goreng sehingga sayur masak, tetapi jangan sampai sayur layu.  Tutup api dan sedia dihidangkan.



Friday, July 19, 2013

Kari Ikan Tenggiri Bunga.

Assalamualaikum...

So seperti biasa ibu-ibu di luar sana mesti tengah fikir nak masak apa hari ini.  Kalau masih tak pasti apakah yang hendak dimasak, jom kita layari internet.  Banyak laman blog yang memaparkan pelbagai masakan untuk kita buat pilihan.   Kak Noor pun kerap juga singgah di blog rakan-rakan  lain untuk mencuba resepi-resepi yang diketengahkan dalam blog mereka untuk mencari kelainan citarasa dalam setiap sajian yang dihidangkan.





Menu yang hendak dikongsi bersama ialah Kari Ikan Tenggiri Bunga. Menu ini merupakan juadah berpuasa hari ke-8 tetapi tidak sempat untuk dimuatkan dalam blog kerana masa tidak mengizinkan.  Cuma hari ini baru ada kelapangan.    Isnin lalu on the way balik kerja, sempat singgah di Pasar Malam/Bazar Malam di AU1, Keramat/Setiawangsa.  Tengok ramai orang tengah memilih ikan tenggiri bunga ini.  Harganya satu kilo  RM16.  Fresh juga ikannya.  Ambillah seekor, selepas ditimbang tak sampai 1 kg pun, harganya cuma RM11.

Kuah kari sedap dicicah dengan roti


Pada mulanya plan nak masak taucu dan dalam masa yang sama teringin pula tekak ni nak makan kari.  Selepas ditimbang-timbangkan dan diambil kira selera anak-anak, maka Kak Noor ambil keputusan masak kari aje. Lagipun kuah kari ini sedap juga dicicah bersama roti semasa sahur (bagi yang tidak berselera makan nasi).

Seperti resepi kari-kari ikan yang lain, bahan dan cara memasaknya lebih kurang sama, cuma nak `ulang tayang' aje..

Bahan-bahannya:
1 ekor ikan tenggiri bunga - dipotong 5 atau 6 (bergantung kepada saiz ikan tenggiri)
10 batang bendi
2 biji cili hijau
1 biji tomato - (kalau kecil dibelah 2, besar dibelah 4)
1 cawan pati santan kelapa + dengan 2 cawan air)
1 sudu besar pati asam jawa Adabi
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan dikisar lumat (gunakan blender basah):
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
4 sudu besar serbuk rempah kari ikan BABAS
1 sudu besar kas-kas
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Air secukupnya
(Bahan-bahan di atas disatukan di dalam blender basah dan dikisar lumat menjadikannya pes)

Bahan-bahan tumis:
4 biji bawang kecil (bawang merah) - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
2 sudu besar halba campur - boleh didapati di pasar raya
2 tangkai daun kari - dilurut daunnya
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara memasak:
1.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Masukkan bahan-bahan tumis.  Tumis sehingga naik bau dan bawang kekuningan.
2.  Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar.  Kacau rata dan tutup periuk.  Masak sehingga rempah garing/terbit minyak.
3.  Selepas rempah garing, kacau dan masukkan santan kelapa.  Masukkan asam jawa, garam dan sedikit gula.  Masak sehingga kuah mendidih.
4.  Selepas kuah mendidih bolehlah dimasukkan ikan tenggiri bunga.  Biarkan di atas dapur sehingga kuah mendidih sekali lagi dan ikan masak.
5.  Akhir sekali masukkan bendi, tomato dan cili hijau.  Bila bendi telah lembut, bolehlah ditutup api dan ditutup periuknya.

Tuesday, July 16, 2013

MENU BERBUKA PUASA, SAMBAL UDANG PETAI, SUP SAYUR PETOLA CAMPUR FISH BALL DAN SOUN, DAN TELUR MASIN


Assalamualaikum.....

Inilah juadah yang sempat disediakan oleh Kak Noor untuk juadah berbuka puasa hari Ramadhan yang ke-7.   Tak sempat nak sediakan lauk yang beraneka, maklumlah orang bekerja.  Sambal tumis udang campur petai itu merupakan menu kegemaran keluarga Kak Noor.  Bila dah dihidangkan, kecur juga `menatap'nya di bulan puasa ini,   Dihidangkan pula dengan sup sayur petola campur fish ball dan telur masin.  Anak-anak dah tak sabar.... tunggu azan maghrib berkumandang aje..., nak `on'.






Resepi sambal tumis udang petai telah ada di blog ini.  Klik di SINI untuk resepinya. Cuma N3 kali Kak Noor berikan resepi sup tumis petola saja.  Mudah aje resepi ni, anak-anak bujang pun boleh mencubanya.


SUP SAYUR  PETOLA CAMPUR FISH BALL DAN SOUN






Bahan-bahannya:
1 batang petola - dipotong serong
1 paket kecil fish ball sayuran
Sedikit soun - direndam dan ditoskan
1 biji bawang merah (bawang kecil) - dihiris
2 ulas bawang putih - diketuk
1 inci halia - dihiris mancis
1 biji cili merah - dihiris
1 kiub ayam
Garam, gula
Air secukupnya untuk sup

Cara-caranya:
1.  Panakan sedikit minyak di dalam periuk, lebih kurang 2 sudu besar aje.  Tumis bawang merah, bawang putih, halia, dan cili merah. Kemudian masukkan fish ball dan kacau rata.
2.  Bila bawang telah bertukar kekuningan masukkan air secukupnya bersama kiub ayam.  Perasakan dengan garam dan gula.  Masak sehingga sup mendidih.
3.  Kemudian masukkan petola dan soun.  Kacau rata dan biarkan ia mendidih sekali (Jangan masak sayur terlalu lama, nanti kecut sayurnya).
4.  Tutup api.  Semasa menghidang, bolehlah dihiaskan dengan daun sup.daun bawang, dan bawang goreng.