Saturday, July 27, 2013

KOAY TEOW GORENG UDANG



Assalamualaikum.... syukur kepada Allah kerana dengan keizinanNYA dapat lagi Kak Noor memuatkan resepi untuk tatapan semua pada bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.  Hari ini ialah hari kelapan umat Islam berpuasa. Syukur Alhamdulillah.... masih dipanjangkan umur untuk menunaikan ibadah rukun Islam yang ketiga.

Hujung minggu begini bolehlah santai sedikit sebab cuti.  Tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan segera masih boleh ditangguhkan. Tidak perlu tergesa-gesa dan `membanting tulang" sebab esok masih cuti.  Anak-anak pun selepas sahur  dan menunaikan solat Subuh terus menyambung tidur mereka.  Bolehlah bangun lewat sebab tidak bersekolah.

Apa menu untuk berbuka puasa hari ini ye?  Rasanya tak berselera sangat nak makan nasi.  Semalam selain menghidang nasi, Kak Noor sempat juga menggoreng mee mamak.  Sebungkus mee aje.... sebab tak ramai orang kat rumah.  Tahun ini tiga orang anak Kak Noor berpuasa di `perantauan'.  Bila masak tu... teringat kat dia orang, dan berkata-kata hati seorang ibu  `apalah yang dia orang makan masa buka puasa dan sahur nanti'.  Kalau di rumah semua ibu yang menyediakannya.  Masa sahur, ibu yang membangunkan mereka.... wajib bangun walaupun mata masih pejam semasa mengadap juadah sahur.  Apabila telah tinggal jauh dari keluarga, rasanya sahur pun tak bangun.  Kasihan anak-anak ibu....Disebabkan inilah Kak Noor hanya memasak ala kadar sahaja. Setiap kali bersahur atau berbuka, mesti teringat anak-anak... Itulah hati nurani seorang ibu.




Rasanya hari ini Kak Noor nak masak koay teow goreng aje.  Pagi tadi hubby ada beli koay teow dua bungkus.  Walaupun tak ramai orang di rumah, Kak Noor masak dua bungkus sekali sebab nak balas pinggan jiran yang hantar kuih.  Tak elok hantar balik pinggan kosong aje....tak manis orang tua-tua kata. Adat Melayu senantiasa dijaga....

Jom kita tengok resepi koay teow goreng udang sajian Kak Noor.

Bahan-bahannya:
2 bungkus koay teow - Kak Noor guna cap Laksamana 
10 ekor udang saiz sederhana
50 sen taugeh
2 ulas bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dititik
1 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
Garam, gula, dan serbuk perasa
Minyak secukupnya untuk menumis
Hiasan: Salad, timun, dan cili merah

Penyediaannya:
1.  Panaskan minyak secukup di dalam kuali.  Tumis bawang merah, bawang putih sehingga kekuningan dan layu. 
2.  Kemudian masukkan cili kering kisar dan tumis sehingga garing.  Masukkan air secukupnya, diikuti dengan sos tiram, sos ikan, sos cili, sos tomato, garam, gula, dan serbuk perasa. Kacau rata dan masak sehingga kuah mendidih (kalau nak koay teow goreng tu basah, lebihkan air).  
3.  Selepas itu masukkan udang dan biarkan di atas dapur sehingga udang masak.
4.  Masukkan koay teow dan kaup balikkan sehingga semuanya sebati.
5.  Akhir sekali masukkan taugeh dan kacau lagi. Bila telah sebati, terus angkat.  Jangan sampai taugeh layu.
6. Semasa menghidang bolehlah dihiaskan dengan salad, cili hidup, dan timun.

TOMYAM AYAM ALA THAI

Hari ini telah masuk seminggu kita berpuasa.  Mungkin berasa keletihan sedikit sebab cuaca di luar amat panas sekali.  Kalau semasa di pejabat sejuk aje... rasa air con.  Bila dah keluar pejabat, barulah terasa kepanasannya.  Semuanya dugaaan daripadaNYA. Kalau hari ini kita tidak tahan menghadapinya, bagaimana pula semasa di padang Mashyar nanti,  panasnya seakan-akan matahari berada sejengkal dari kepala kita.

Bagi  ibu-ibu yang bekerja di pejabat pada bulan Ramadhan ini, tentu terasa penat. Semuanya nak `rushing' balik awal sebab ada tugas khas yang masih menanti di rumah, iaitu menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga. Topik yang selalu menjadi perbincangan hangat sesama ibu di pejabat `nak masak apa hari ni ye!’ Pening juga memikirkan apa yang hendak dimasak untuk keluarga pada setiap hari. Bagi ibu-ibu yang kepenatan, mungkin mengambil jalan  mudah semasa berbuka puasa nanti iaitu membeli lauk-pauk `instant’ yang dijual di gerai sahaja. Pelbagai lauk pauk dan kuih-muih ada, main tunjuk-tunjuk aje…. Kemudian bayar. Dah siap pun hidangan untuk berbuka puasa…. Balik rumah, dapatlah rehat sebentar sementara menanti waktu berbuka. 

Tetapi ada juga ibu-ibu walaupun kepenatan bekerja seharian di pejabat, masih wajib memasak untuk keluarganya. Kemungkinan kerana suami atau anak-anak memang tidak gemar dengan masakan luar. Walaupun ringkas masakannya atau sekadar telur dadar telah cukup untuk mereka menikmatinya. Bagi keluarga Kak Noor, tak berapa kisah sangat.  Ada kalanya beli dan ada kalanya masak sendiri.

Bagi ibu-ibu yang bekerja Kak Noor nak kongsi resepi yang boleh dikatakan ringkas juga untuk memasaknya. …. iaitu Tomyam Ayam Ala Thai. Kak Noor gunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah sahaja.   Mari kita tengok resepinya.



Bahan-bahannya: 
Beberapa ketul daging ayam dipotong kecil
3 sudu besar pes tomyam Thai
Beberapa helai daun limau purut
2 batang serai – dititik
5 – 6 biji cili padi - diketuk
1 sudu besar sos ikan
2 sudu besar susu pekat
2 biji limau nipis – diperah dan diambil jusnya
Garam secukup rasa
1 labu bawang besar – dipotong bulat
Bunga kobis
Lobak merah – dipotong bulat
1 batang daun saderi – dipotong pendek
1 biji buah tomato
6 batang crab filament stick - dipotong pendek
(Banyaknya penggunaan sayur terpulang kepada citarasa masing-masing)

Penyediaannya:
1. Masukkan air secukupnya bersama pes tomyam, serai, limau purut, dan cili padi. Kacau dan masak sehingga mendidih.
2. Kemudian masukkan ayam dan masak sehingga ayam empuk.
3. Perasakan dengan garam, susu pekat, sos ikan, dan jus limau nipis. Kacau rata. Akhir sekali masukkan bunga kobis, lobak merah, bawang besar, buah tomato, batang saderi dan crab filament stick. Biarkan sebentar sehingga mendidih, dan kemudian tutup api
4.  Bolehlah dihidangkan.  Sedap dimakan sewaktu tomyam masih panas.

Friday, July 26, 2013

KARI UDANG


Bahan-bahannya: 
½ kg. udang
15 batang sayur kacang buncis – dipotong serong
1 biji buah tomato – dibelah 4
Cili merah – dibelah dua
1 keping asam gelugor (asam keping)
Garam, gula dan serbuk perasa

Bahan-bahan dikisar:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 sudu besar serbuk rempah daging
½ inci halia

Bahan-bahan tumis: 3 biji bawang kecil – dihiris
3 ulas bawang putih – dihiris
1 inci halia - dihiris
1 sudu kecil jintan manis
1 tangkai daun kari
Minyak untuk menumis

Penyediaannya:
1. Masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan serbuk rempah daging bersama dengan air secukupnya di dalam blender. Kisar lumat sehingga menjadi pes.
2. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bawang kecil, bawang putih, halia, jintan manis, dan daun kari sehingga layu.
3. Kemudian masukkan pes rempah dan kacau. Masak sehingga rempah garing (terbit minyak).
4. Masukkan santan dan kacau. Perasakan dengan garam, gula, dan serbuk perasa. Masak sehingga kuah mendidih.
5. Selepas itu masukkan udang dan asam keping. Biarkan di atas dapur sehingga udang masak. 6. Akhir sekali masukkan sayur kacang buncis, buah tomato, dan cili merah. Biarkan mendidih sekali lagi dan bolehlah ditutup api

Thursday, July 25, 2013

CAPATI TWISTER


Sumbangan resepi oleh: Anakanda Feefa

Resepi capati twister ini adalah ciptaan anakanda sulung Kak Noor yang sekarang ini sedang menjalani latihan praktikal di MARDI dan tinggal di Serdang.  Minggu lalu dia pulang ke rumah untuk menyambut puasa bersama keluarga.  Anakanda Kak Noor sorang ni memang pandai mencipta makanan-makanan seperti ini.  Kena dengan selera dia dan adik-beradik yang lain.  Cuma Kak Noor yang malas menyediakan makanan seperti ini.  Maklumlah usia pun dah nak mencecah separuh abad, tak berapa berselera sangat dengan menu seperti ini.   Kalau nak tengok dia rajin ke dapur, belilah bahan siap-siap dan simpan dalam peti sejuk.  Pandailah dia `kerja'kan nanti.

Ok jom kita tengok bahan-bahan yang anakanda Kak Noor gunakan:

Bahan-bahannya:
6 keping roti capati instant perasa garlic (terdapat berbagai-bagai jenama di pasar raya)
Salad
Parutan keju jenama Cheddar (Cheddar cheese shredded)
Sos cili
Sos Salad Thousand Island – (Kak Noor guna jenama Lady Choice)

Bahan-bahan untuk inti: (Banyaknya kuantiti setiap bahan yang digunakan bergantung kepada citarasa masing-masing)
Sosej – digoreng dan dipotong bulat atau dadu
Nugget ayam – digoreng dan dipotong dadu
Crab filamen stick – digoreng dan dipotong ikut suka
Buah tomato – dipotong dadu
Mayonis
Lada hitam kasar
(Semua bahan-bahan inti di atas disatukan di dalam bekas dan digaul rata)

Penyediaannya:
1. Bakar capati di atas frying pan tanpa minyak atau di atas kuali leper. Bakar kedua-dua belah, tetapi jangan sampai garing. Ketepikan.
2. Kemudian susun beberapa daun salad di atas capati tadi.
3. Selepas itu letakkan inti. Taburkan parutan keju, diikuti dengan sos thousand island dan sos cili. Tutup dengan daun salad semula dan kemudian gulung roti dengan kemas supaya gulungan tidak tanggal.
4. Capati twister ini boleh dipotong kepada tiga bahagian sekiranya suka, ataupun dihidangkan terus tanpa memotongnya.

Selamat mencuba...

BENDI GORENG SOUN


Bahan-bahannya:
10 batang bendi – dibasuh dan dipotong serong
1 paket kecil soun – direndam dahulu sehingga kembang, kemudian ditoskan.
1 sudu kicap manis
Garam dan serbuk perasa
Minyak untuk menumis

Bahan-bahan ditumbuk:
3 – 4 biji cili merah
Udang kering atau ikan bilis
3 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih

Penyediaannya:
1. Bendi dibasuh terlebih dahulu. Kemudian dipotong serong. Jangan nipis sangat.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi sehingga naik bau dan garing sedikit.
3. Selepas itu masukkan sedikit air dan kicap manis. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa jika suka.
4. Masukkan bendi dan soun.  Kacau sebati sehingga bendi bercampur dengan soun. Bila bendi telah masak, bolehlah diangkat dan dihidangkan. Jangan masak sampai bendi layu.

Wednesday, July 24, 2013

DAGING MASAK KICAP LADA HITAM BERKENTANG


Bahan-bahannya:
*1/2 kg. daging isi dipotong kecil - Kak Noor guna daging tempatan
*1 paket perencah lada hitam MAGGI
*1 sudu besar gula perang
(*Bahan-bahan disatukan dan diperap)

3 - 4 biji ubi kentang - dibuang kulit dan dipotong wedges
2 biji bawang besar - dipotong bulat
1 biji buah tomato - dibelah empat
Daun sup/daun bawang

Bahan-bahan Tumis:
1 biji bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia - dihiris
1 tangkai daun kari
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis.

Penyediaannya:
1.  Daging diperap dengan perencah lada hitam MAGGI dan 1 sudu besar gula.  Ketepikan selama 1 jam.  Lebih elok diperap semalaman dan dimasukkan di dalam peti sejuk.
2.  Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis daun kari diikuti dengan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga layu.
3.  Masukkan daging yang telah diperap dan air secukupnya.  Masak sehingga daging empuk.
4.  Setelah daging empuk, masukkan kicap pekat manis dan air secukupnya bergantung kepada banyaknya kuah yang dikehendaki. Perasakan dengan garam dan gula.
5.  Masukkan ubi kentang dan masak sehingga empuk.  Setelah ubi empuk bolehlah dimasukkan bawang besar, buah tomato, daun sup dan daun bawang.  Kacau dan kemudian bolehlah ditutup api.



Perencah lada hitam MAGGI

Tuesday, July 23, 2013

SAYUR CAMPUR SOS TIRAM



Bahan-bahannya:
Kacang buncis
Lobak merah (Kak Noor guna baby carrot)
Cendawan tiram kelabu
Kacang sepat
Putik jagung
Bebola ikan sayur panjang – dipotong serong
¼ biji lada benggala – warna kuning, dihiris memanjang
¼ biji lada benggala – warna hijau, dihiris memanjang
3 ulas bawang kecil - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
3 biji cili padi merah – diketuk
4 sudu sos tiram ) disatukan dalam bekas dan
1 sudu kecil serbuk lada hitam ) dibancuh dengan air
2 sudu besar tepung jagung – dibancuh dengan sedikit air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara memasak:
1. Kuantiti setiap jenis sayur-sayuran yang digunakan adalah bergantung kepada keperluan hidangan.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang kecil, bawang putih, cili padi merah sehingga naik bau. Kemudian masukkan bebola ikan. Tumis sehingga bebola ikan masak.
3. Masukkan sos tiram dan serbuk lada hitam yang telah dibancuh dengan air. Kacau rata dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masak sehingga kuah mendidih. Sekiranya mahukan kuah yang lebih, bolehlah ditambah air lagi.
4. Bila kuah telah mendidih, masukkan semua sayur-sayuran dan lada benggala, diikuti dengan tepung jagung. Kacau rata.
5. Bila sayur-sayuran telah masak, bolehlah ditutup api.




Inilah bebola ikan sayur panjang