Thursday, June 13, 2013

AYAM ROS BERKISMIS



Pernah dengar ayam masak merah? ayam masak ros? ayam masak wangi? Sebenarnya ketiga-tiga masakan ini adalah lebih kurang sama, cuma diolah dengan menggunakan bahan-bahan tambahan untuk disesuaikan dengan citarasa masing-masing.  Pun begitu, rasanya tidak banyak bezanya dan masih mengekalkan keaslian masakan ini.


Masakan ayam masak merah dan ayam masak ros memang sinonim sejak dahulu lagi, dan sering dimasak semasa kenduri kendara, terutamanya semasa kenduri kahwin.  Bezanya ayam masak merah dengan ayam masak ros ialah ayam masak merah tidak diletakkan santan, dan ditumis dengan menggunakan bawang merah, bawang putih, dan halia sahaja manakala untuk ayam masak ros diletakkan santan dan ditumis dengan campuran rempah-rempahan seperti kulit kayu manis, bunga lawang, biji pelaga di samping bawang merah, bawang putih, dan halia.  Ditambah pula daun pandan, memang tidak dapat dinafikan aromanya sudah pasti terserlah dan berbau wangi.


Sebenarnya masakan ayam ros ini selalu dimasak oleh bonda Kak Noor semasa Hari Raya, dihidang dengan nasi tomato atau nasi minyak bersama jelatah.  Tetapi pada hari ini, Kak Noor telah  mengolah resepi ini dengan menggantikannya dengan bahan-bahan yang sedia ada dan menambah bahan-bahan lain yang dapat menyedapkan lagi masakan ini.

Terdapat beberapa bahan asli di dalam resepi ini  seperti tomato puri dan santan yang telah Kak Noor gantikan dengan buah tomato dan susu sejat. Ada juga bahan-bahan tambahan yang digunakan  untuk memberi kelainan pada resepi ini seperti kismis dan juga kacang pis.  Ternyata hasilnya amat berbaloi dan tidak sia-sialah usaha Kak Noor mengolah resepi ini.


Nak tahu sedap ataupun tidak, kenalah cuba masak mengikut resepi di bawah.

Bahan-bahan A:
1 ekor ayam – dipotong 12 (digaramkunyitkan dan digoreng)
1 biji tomato – dipotong kiub
2 sudu besar kismis
1 ketul kiub ayam atau 1 sudu besar serbuk Ayam Tumix
3 sudu gula perang
1 cawan air
1 ½ cawan susu sejat
2 batang serai - dititik
2 helai daun pandan - disimpulkan
Gula putih dan garam secukup rasa

Bahan-bahan B (Ditumis):
3 biji bawang merah - dihiris
3 ulas bawang putih - dihiris
1 inci halia – dihiris
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 sudu besar kismis

Bahan-bahan C: (disatukan dan dikisar)
5 senduk nasi cili kering yang telah dikisar
1 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Hiasan:
Kacang pis di dalam tin – ditoskan airnya
Daun sup
Kismis
Cili hidup/merah

Penyediaannya:
1. Ayam dibersihkan dan digaramkunyitkan. Perap selama 1 jam.
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng ayam sehingga ¾ masak dan ketepikan.
3. Panaskan lebih kurang 2 senduk minyak di dalam periuk. Gunakan minyak ayam goreng tadi. Masukkan daun pandan dan kacau seketika sehingga naik wanginya.
4. Kemudian masukkan bahan-bahan B diikuti dengan kismis. Tumis seketika sehingga bawang kekuningan.
5. Selepas itu masukkan bahan-bahan C yang telah dikisar. Kacau rata dan tutup periuk. Masak sehingga terbit minyak.
6. Setelah terbit minyak, masukkan 1 cawan air, sos tomato, buah tomato, kiub ayam, gula perang, gula putih, garam, dan serai. Kacau sebati dan biarkan ia mendidih.
7. Selepas itu masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kaup balikkan dan biarkan 2 minit di atas dapur.
8. Masukkan 1½ cawan susu sejat dan kacau rata. Dengan menggunakan api sederhana biarkan ia mereneh di atas dapur sehingga ayam masak. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah ditambah air sedikit.
9. Setelah ayam masak, bolehlah ditutup api.
10. Semasa menghidang, taburkan kacang pis dan kismis. Hiaskan dengan daun sup dan cili merah.

No comments:

Post a Comment